Friday, May 16, 2008

Perkasa belia agenda utama – PM

KUALA LUMPUR 15 Mei – Kerajaan akan melipatgandakan usaha untuk memperkasakan golongan belia bagi membolehkan mereka bersaing dengan belia di negara maju, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Untuk itu, tegas Perdana Menteri, usaha mendidik dan menjana golongan belia agar mencapai potensi diri yang optimum akan sentiasa menjadi agenda penting negara.
Katanya, langkah khusus akan diambil kerajaan untuk membantu golongan berkenaan seperti meningkatkan latihan dan kemahiran dalam pelbagai bidang.
Kerajaan juga, jelas beliau, akan memperluaskan peluang untuk golongan belia mengikuti pelbagai kursus sedia ada yang bertujuan bagi meningkatkan kemahiran diri.
Menurutnya, pelbagai institusi kemahiran dan latihan yang wujud di negara ini akan digunakan sepenuhnya bagi merealisasikan matlamat tersebut.
“Ini secara tidak langsung akan turut meningkatkan peluang kepada para belia untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari dan Minggu Belia Negara 2008 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.
Sambutan bertemakan Belia Cemerlang Negara Terbilang tersebut dihadiri oleh kira-kira 15,000 ahli pelbagai persatuan belia dari seluruh negara.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob; Presiden Gerakan Belia 4B, Datuk Ali Rustam dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
Abdullah menambah, belia yang terlatih dan berkemahiran merupakan aset negara pada masa hadapan.
Beliau dalam ucapannya turut menasihatkan para belia agar menampilkan imej yang ceria dan sentiasa cergas.
“Golongan belia merupakan modal insan dan aset negara yang begitu berharga,” kata Perdana Menteri.
Kata beliau, belia yang sentiasa berusaha untuk memajukan diri akan menjadi pemangkin kepada kejayaan dan pembangunan negara.
“Pembangunan modal insan yang ditekankan kerajaan juga bermatlamat melahirkan generasi belia yang cemerlang dan kompetitif dalam serba-serbi.
“Pembangunan modal insan, ilmu dan kemahiran adalah penting supaya belia Malaysia sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa juga cabaran baik di dalam negara mahupun antarabangsa,” katanya.
Katanya, kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh ke arah memastikan belia terus terbela dan menjadi tonggak pembangunan negara.
“Dengan cara ini, semua belia akan lebih berjaya, bukan sahaja berilmu tetapi cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya.
Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah kepada 10 orang belia yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Antara penerimanya ialah Wanita Pertama di Asia yang berjaya menawan puncak Everest iaitu Marina Ahmad yang menerima Anugerah Kategori Daya Juang Malaysia Boleh

No comments: