Wednesday, May 27, 2009

Usaha Jadikan Melaka Negeri Belia

Kursus Kepimpinan Mampu Lahir Pelapis Cemerl
Persatuan belia di negeri ini disaran menganjurkan kursus kepimpinan di pelbagai peringkat bagi mencari generasi pemimpin pelapis persatuan belia. Pengarah Perkhidmatan Barisan Nasional Negeri, (PEMBELA BN), Ali Muhammad berkata, langkah itu penting selaras menjadikan Melaka sebagai Negeri Belia. "Gejala sosial membabitkan golongan belia perlu dipandang serius dan menerusi aktiviti persatuan belia, kita dapat mendekati belia, sekaligus mengelakkan mereka terjebak dengan gejala keruntuhan moral,"katanya. Ali berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutup Kursus Profesionalisme Persatuan Belia dan Pengucapan Awam Peringkat Daerah Alor Gajah dan Pelancaran Identiti Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Alor Gajah di sebuah hotel, di sini, semalam.Beliau turut mencadangkan agar MGBD Alor Gajah menganjurkan Kursus Bahasa Inggeris kepada semua ahli persatuan belia untuk menguasai bahasa itu di masa akan datang. Turut hadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah, Setiausaha MGBM, Mohd Nizam Omar dan Pengerusi MGBD Alor Gajah, Razak Abu Hasan. Seramai 80 peserta terdiri jawatankuasa badan-badan gabungan di bawah MGBD Melaka Tengah hadiri kursus tersebut.Antaranya, Kelab Belia Malaysia (MAYC), Kelab Belia India Malaysia (MIYC), Gerakan Belia 4B (GB4B), Kelab Belia Bell Tamil (KBBT) dan Gerakan Belia Bersatu (GBB). Sementara itu, seramai 25 jawatankuasa MGBD Alor Gajah bagi Sesi 2008/2010 yang dipilih semasa Mesyuarat Agung MGBD Melaka Tengah sekitar Januari 2009 menerima watikah pelantikan dari Ali.

Sunday, May 17, 2009

Semai Aspirasi '1Belia'Cari Persamaan

Generasi belia perlu menyelami aspirasi 'Satu Belia' dan menterjemahkannya secara lahiriah seiring konsep '1Malaysia'. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seterusnya menyeru generasi belia pelbagai kaum di negara ini agar berusaha mencari persamaan dan mengelakkan perbezaan untuk memelihara dan mengekalkan perpaduan. "Ia (perpaduan) bukanlah tanggungjawab Kerajaan atau pihak-pihak tertentu sahaja, tetapi setiap daripada kita tidak terkecuali daripada tugas dan tanggungjawab itu," katanya. Muhyiddin berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Dewan Pameran, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), disini petang tadi. Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Katanya, belia perlu bersama Kerajaan dalam memastikan masyarakat tidak mudah hilang pertimbangan dan membenarkan emosi menguasai diri mereka. Golongan belia juga katanya perlu melakukan pembukaan minda dan perubahan budaya, kaya kefahaman dan kreativiti serta berupaya menjadikan jati diri bangsa dan negara sebagai akar patriotisme. Muhyiddin berkata perubahan persekitaran hidup belia kini perlu ditangani dengan perubahan pada program pembangunan belia daripada bersifat konvensional kepada bersifat pragmatik dan holistik berteraskan pembangunan modal insan. Penekanan perlu diberikan terhadap pembangunan ilmu pengetahuan,kemahiran, modal intelektual, termasuk ilmu sains teknologi, dan keusahawanan. Beliau mencadangkan "Satu Perkongsian Pintar" perlu diwujudkan antara belia dan pelbagai komuniti masyarakat, swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), dan agensi Kerajaan bagi mengukuhkan gerakan belia di negara ini.

Melaka Negeri Belia Kerajaan Sedia pelBagai Kemudahan

Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai kemudahan prasarana sama ada di darat, laut dan udara untuk memastikan golongan belia terus memainkan peranan dan memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata langkah itu selaras hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai Negeri Belia.Antaranya termasuk, Kem Belia Majlis Gabungan Negeri Melaka (MGBM), Melaka International Motorsport Circuit (MIMC), Kompleks Bowling, Trek Sukan Berkuda Lasak (Endurance), Kompleks Marina Melaka dan Kelab Penerbangan Belia 4B Malaysia. Mohd Ali berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Dewan Pameran MITC, hari ini.Perhimpunan yang disertai kira-kira 20,000 belia dari seluruh negara itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin.Ketua Menteri berkata kesemua kemudahan itu bertaraf antarabangsa dan sebahagiannya merupakan kemudahan tercanggih dan terbesar di Asia Tenggara. Katanya, golongan belia seharusnya menggunakan kemudahan ini untuk menaikkan imej belia dan ketrampilan belia diperingkat akar umbi sehingga peringkat antarabangsa. Ketua Menteri menjelaskan, Kerajaan Negeri turut menempatkan 17 badan gabungan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) di bawah satu bumbung yang ditempatkan di Kompleks Perhiimpunan Belia Sedunia (WAY) bagi memudahkan belia berkumpul dan mengadakan kegiatan harian masing-masing. Mohd Ali berkata MGBM dibantu oleh Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri (JKMM) bagi membolehkan 20,000 belia di seluruh negara berkumpul di Majlis Perhimpunan Hari Belia Negara 2009, di MITC.

Belia Ikuti Kursus Perkhemahan Patriotik

Golongan belia di negeri ini diseru agar tidak mendengar perkara-perkara negatif yang boleh mempengaruhi fikiran mereka ke arah negatif. Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ab Karim Sulaiman berkata, belia perlu punyai semangat patriotik yang tinggi demi memastikan sokongan golongan itu kepada Kerajaan tidak berbelah bagi. "Kita boleh mengambil iktibar apa yang berlaku di Perak yang menjadi kacau bilau apabila sokongan beralih kepada pihak lain dan akhirnya yang rugi adalah kita. "Oleh itu, amat penting bagi golongan belia yang memasuki usia 21 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi dan membuat keputusan untuk masa depan negeri dan negara," katanya. Ab Karim berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Perkhemahan Patriotik (Jatidiri) Peringkat Daerah Alor Gajah anjuran Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah (MGBDAG) dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi MGBDAG, Zaidi Mohd dan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBSN) Abdul Manaf Abdul Rahman. Seramai 41 belia di daerah itu mengikuti program perkhemahan yang berlangsung pada 8 Mei hingga 10 Mei di Seri Kenangan Resort, di sini. Ab Karim berkata, menerusi program itu, golongan belia dapat memperkukuhkan pengetahuan dan semangat jatidiri mereka sebagai golongan belia yang merupakan aset penting kepada negara.