Wednesday, May 14, 2008

Konvensyen Belia Kebangsaan 2008






Yang mengikuti Konvensyen Belia Kebangsaan 2008 sempena Sambutan Hari Belia Negara di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Sebanyak lima tunggak utama perlu diberi keutamaan dan mesti ada pada setiap belia masa kini untuk membentuk diri dan generasi cemerlang yang mampu menyumbang ke arah melahirkan negara yang gemilang.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Dato’ Shamsul Anuar Nasarah, berkata generasi belia hari ini perlu mempunyai kekuatan seperti ‘Badang’ iaitu mereka yang mempunyai kekuatan fizikal dan mental.

Menurut Shamsul Anuar, tunggak kedua pula ialah generasi muda hari ini dituntut berusaha dengan cara yang lebih efisyen dan berkesan bagi menjana kemajuan kea rah melahirkan negara yang gemilang.

“Tunggak yang ketiga pula ialah pemikiran yang luas dan berpengetahuan seluas lautan kerana ia penting supaya mereka tidak cepat goyah atau melatah sekiranya cabaran datang melanda,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Belia Kebangsaan 2008 di Hotel Pearl International, dekat sini, hari ini.

Konvensyen yang bertemakan Belia Cemerlang Negara Terbilang itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Belia Kebangsaan 2008 merangkap Naib Presiden MBM, Azizuddin Ahmad serta lebih 300 pemimpin belia di negara ini.

Menurut Shamsul Anuar, tunggak yang keempat pula ialah integriti yang menuntut belia pada hari ini memiliki identity yang ideal dan tidak mampu diumpan dengan budaya murahan yang mencalar identity generasi belia masa kini.

“Tunggak yang kelima pula ialah pegangan agama yang kukuh dan ia merupakan yang terpenting sekali dalam melahirkan masyarakat belia yang cemerlang,”katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar turut menggesa pemimpin belia supaya sentiasa memahami kehendak-kehendak belia di peringkat akar umbi bagi memastikan peranan pertubuhan belia dapat berjalan dengan lebih lancar.

No comments: