Monday, May 19, 2008


BERA 10 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa pemimpin supaya sentiasa mendengar suara dan pandangan belia supaya isu-isu golongan itu dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri meminta Kementerian Belia dan Sukan supaya memperbanyakkan dialog dengan belia agar semua program yang hendak dilaksanakan dapat mencapai matlamat mengikut cita rasa golongan itu.
Tegas beliau, kementerian itu juga perlu melaksanakan pelbagai program yang menjadi tuntutan belia asalkan ia tidak bertentangan dengan tuntutan agama, budaya dan cara hidup rakyat negara ini.
''Pemimpin perlu memperuntukkan masa untuk mendengar suara golongan belia supaya mereka merasakan peranan mereka diiktiraf kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Hari dan Minggu Belia Negara 2008 Peringkat Kebangsaan di Felda Sebertak dekat sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.
Najib seterusnya mengingatkan golongan belia supaya tidak melupakan sejarah kerana transformasi dan pembangunan negara sejak merdeka diperjuangkan oleh golongan itu.
''Golongan belia yang hari ini menikmati pelbagai kemudahan termasuk pendidikan sehingga mampu hidup senang adalah hasil perjuangan tokoh-tokoh terdahulu.
''Mereka yang lahir hari ini sedar-sedar hidup senang dan semua itu tidak terjadi dengan sendiri jika tidak ada orang terdahulu daripada kita yang memperjuangkannya," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, kerajaan akan terus memantap dan memperkasakan peranan golongan belia kerana mereka mempunyai peranan dalam pengisian pembangunan negara.

No comments: