Tuesday, December 29, 2009

MGBD Alor Gajah & GB4B Masjid Tanah Rai 50 Anak Yatim Sempena 10 Muharram

Usaha Semarakkan Aktiviti Kemasyarakatan
MGBD Alor Gajah & GB4B Masjid Tanah Rai 50 Anak Yatim Sempena 10 Muharram

MASJID TANAH, 29 Dis - Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Alor Gajah dengan kerjasama Gerakan Belia 4B (GB4B)Masjid Tanah mengambil inisiatif meraikan 50 orang anak yatim dari kawasan Masjid Tanah bersempena dengan sambutan 10 Muharram.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ab Karim Sulaiman berkata penganjuran program menunjukkan golongan belia sudah mula menunjukkan kesedaran mengenai sambutan 10 Muharram.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada MGBD Alor Gajah dan GB4B Masjid Tanah kerana berjaya menganjurkan program ini bagi memupuk kesedaran di kalangan golongan belia untuk menghayati erti 10 Muharam.

"Adalah menjadi tanggungjawab ahli pertubuhan belia untuk mendekati golongan yang lebih muda misalnya anak-anak yatim dengan program-program keagamaan untuk membina sahsiah cemerlang apabila mereka dewasa," katanya.

Ab Karim berkata demikian ketika berucap di Majlis Bersama Anak Yatim Sempena 10 Muharram 1431 Hijrah di Masjid Al-Muttaqin Kampung Masjid Tengah, Solok Air Batu, disini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi GB4B Negeri, Mohd Nizam Omar yang juga Setiausaha Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Pengerusi GB4B Masjid Tanah, Zaidi Mohd merangkap Pengerusi MGBD Alor Gajah, dan Naib Presiden MGBM, Mohd Faizal Hashim.

Hadir sama, Pengerusi JKKK Solok Air Batu, Mohamad Othman, dan Naib Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Talib Bachek.

Ab Karim berkata usaha-usaha murni pertubuhan belia wajar diteruskan demi kebaikan masyarakat secara amnya.

"Program-program seumpama ini wajar diteruskan bagi memastikan golongan anak yatim dibantu agar tidak tercicir di dalam pelajaran selaras dengan Melaka Maju 2010,"katanya.

Sementara itu, Mohd Nizam berkata penganjuran program itu wajar dijadikan contoh oleh mana-mana pertubuhan belia di negeri ini untuk sama-sama membantu anak yatim.

Program itu merupakan anjuran bersama dengan Pejabat Belia Daerah Alor Gajah dan Lembaga Masjid Al-Muttaqin.

Turut diadakan sesi ceramah 10 Muharram dan mengusap kepala anak yatim sebagai peroleh berkat 10 Muharram. Anak-anak turut menerima sumbangan wang tunai.


Kursus Kepimpinan Persatuan Belia & Bengkel Anugerah Belia Negara

Pada 28 & 29, Gerakan Belia 4B (M) Kawasan Masjid Tanah telah menyertai Kursus Kepimpinan Persatuan Belia & Bengkel Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Melaka.

Kursus ini adalah anjuran Gerakan Belia 4B (M) Melaka dengan kerjasama Jabatan Belia & Sukan Negeri Melaka.

GB4B Kawasan Masjid Tanah telah menghantar 2 cawangan GB4B iaitu cawangan Ramuan China Besar seramai 2 orang & Solok Air Batu pula seramai 3 orang. Jumlah keseluruhan peserta kursus adalah seramai 35 orang.




Jadi Pusat Kegiatan Belia
GB4B Negeri Cadang Bina Perkampungan Belia 4B Melaka

MASJID TANAH, 29 Dis - Gerakan Belia 4B (GB4B) terus menjadi 'juara' di kalangan belia Melayu di negara ini apabila berusaha keras untuk membela nasib belia Melayu dan orang Melayu khususnya apabila isu-isu berkaitan orang Melayu dibangkitkan dipersada nasional.

GB4B diasaskan diperingkat akar umbi merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang lahir dari zaman kesusahan sekitar tahun 60an untuk membela nasib belia Melayu.

Timbalan Pengerusi Jawatankasa Negeri, Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan, Hasan Abd Rahman berkata, GB4B merupakan tulang belakang kepada perjuangan golongan belia di negera ini kerana sejauhmana pembelaan keatas golongan belia wajar diukur kepada prestasi GB4B.

Hasan berkata, GB4B perlu meletakkan sasaran penambahan keahlian yang tinggi kerana GB4B pada asalnya dipimpin oleh bekas-bekas pemimpin yang berkaliber.

"Kita perlu bekerja kuat dan mencari ahli seramai mungkin kerana kekuatan diukur berdasarkan keahlian dan jika kita kuat apa yang diinginkan boleh diperjuangkan,"katanya.

Hasan berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Bengkel Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Peringkat Negeri 2009 di sebuah resort, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi GB4B Negeri, Mohd Nizam Omar; Pegawai Kepimpinan dan Pembangunan Sahsiah 1, Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Mohd Azizul Hanafi dan Pengerusi GB4B Masjid Tanah, Zaidi Mohd.

Seramai 61 pemimpin belia dari enam kawasan parlimen menghadiri bengkel yang diadakan selama dua hari bermula 28 Disember hingga 29 Disember lalu.

Bengkel itu merupakan anjuran GB4B Negeri dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri, di mana GB4B Masjid Tanah merupakan tuan rumah.

Sementara itu, Hasan berkata, persatuan belia merupakan tempat bergantung golongan belia kerana menerusi persatuan nasib dan kemahuan mereka dapat dibela.

"Justeru itu, GB4B perlu menjadi pelopor kepada Rancangan Belia Melaka (RBM) yang dipersetujui pada Majlis Perundingan Belia Melaka (MBPM) lalu untuk tempoh tiga tahun,"katanya.

Jelasnya, RBM pertama akan dibawa kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri untuk dipersetujui.

Sekiranya perkara itu dipersetujui, Melaka akan muncul sebagai negeri pertama yang mengemukakan RBM mengikuti konsep Rancangan Malaysia (RMK).

Hasan berkata, menerusi RBM, segala perancangan pembangunan belia akan dipantau setiap tiga tahun sekali dan RBM pertama akan mula dilaksanakan pada tahun depan.

"Misalnya, dalam RBM kita rancang setiap kampung ada gelanggang futsal, setiap pertubuhan belia ada balai raya dan jika tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun ia akan dibawa ke RBM seterusnya.

"Saya juga mencadangkan GB4B mewujudkan Perkampungan Belia 4B Melaka sepertimana kita mempunyai perkampungan artis untuk memesatkan kegiatan belia di negeri ini,"katanya.

Ujarnya, Perkampungan Belia 4B Melaka itu akan dilengkapi dengan kemudahan chalet, dewan persidangan, kafe dan kemudahan riadah dan rekreasi untuk kegunaan persatuan belia yang ingin mengadakan kursus dan bengkel.

"Kita akan berusaha untuk mencari lokasi yang sesuai untuk tujuan ini dan perkara ini akan dibawa kepengetahuan Ketua Menteri," katanya.

Sunday, December 27, 2009

Majlis Sumbangan Kepada Pelajar Cemerlang UPSR & Beg Sekolah

Pada 27 Dec 2009, Gerakan Belia 4B (M) Caw. Kg. Telok Gong dengan kerjasama Gerakan Belia 4B (M) Kawasan Masjid Tanah bersama JKKK Kg. Telok Gong telah mengadakan majlis iaitu Sumbangan Kepada Pelajar Cemerlang UPSR & Beg Sekolah di Kg. Telok Gong.
Perasmi oleh YB Ar Ismail Othman, DUN Kuala Linggi.

Wednesday, December 23, 2009

GB4B Masjid Tanah di Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia ke-34 di Puteri Resort

Kuasa dalam kerajaan tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur kejayaan kepimpinan Gerakan Belia 4B.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, terdapat kebimbangan dalam kalangan ahli berikutan kepimpinan muda bukan lagi dianggotai individu berkuasa dalam kerajaan.

Beliau yang juga Presiden Perwakilan Belia Sedunia (Way) dan Ketua Menteri menjelaskan, kejayaan pertubuhan belia itu bergantung kepada keupayaan kepimpinan muda memahami aspirasi dan kehendak ahli.

“Dewasa ini, ahli Gerakan Belia 4B mengharapkan kepimpinan dinamik, agresif, inovatif dan cergas.

“Barisan kepimpinan muda juga perlu memiliki keupayaan dan kepakaran menggunakan peluang tersedia bagi menggerakkan aktiviti,” katanya.

Mohd Ali berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia ke-34 di Puteri Resort, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Tetap Gerakan Belia 4B, Datuk Abdul Fattah Abdullah; Presiden Penaja, Shukor Mohd Yusof; Naib Presiden Wanita, Datuk Zaitun Ab Rahman dan Pengerusi Gerakan Belia 4B Melaka, Mohd Nizam Omar.

Mesyuarat semalam mencatatkan lembaran baru dalam sejarah pertubuhan belia berkenaan apabila Mohd Ali melepaskan jawatan Presiden yang disandangnya sejak 15 tahun lalu.

Selain Presiden, 14 jawatan tertinggi Gerakan Belia 4B turut beralih kepada perwakilan di bawah umur 40 tahun.

Sementara itu, menurut Mohd Ali, Gerakan Belia 4B harus mempelbagaikan dimensi perjuangannya.

“Selain aktif menggerakkan aktiviti sosial dan sukan, pertubuhan ini perlu menyuburkan kembali tradisi intelektualisme yang pernah menjadi citra perjuangan pada masa lalu.

“Di samping itu, semua ahli hendaklah serius dalam menjadikan Gerakan Belia 4B sebagai satu gerakan massa dalam bidang ekonomi,” jelas beliau.

Menurutnya, pertubuhan berkenaan juga perlu bersikap berani menyua-rakan pandangan terhadap isu masyarakat atau negara.




Monday, December 14, 2009

Dinner of WAY 60th Anniversary Celebration

WAY 60th Anniversary Celebration Dinner - Dewan Banquet, Seri Negeri, Melaka.






Friday, December 11, 2009

GB4B Masjid Tanah - Persediaan Untuk Official Launching World Of Complex & WAY Headquarters

Pada 11 Dis 2009 (malam), para AJK GB4B Kawasan Masjid Tanah telah memberikan sumbangan tenaga untuk Majlis Perasmian Kompleks Belia Sedunia & Ibupejabat WAY, Ayer Keroh, Melaka.



Sunday, December 6, 2009

6 Dec 2009 Majlis Berkhatan Beramai-Ramai 1Malaysia

TELOK GONG, 6 Dis - Jika satu ketika dahulu tradisi melihat kanak-kanak lelaki Islam merupakan satu pemandangan biasa namun situasi berubah apabila ramai kanak-kanak lelaki bukan Islam turut serta didalam program berkhatan berkelompok.

Meskipun jumlah itu tidak ramai, namun ia memberikan impak baik kepada masyarakat khususnya diperingkat akar umbi apabila program seumpama itu dapat mendekatkan rakyat dengan konsep 1 Malaysia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata penerapan konsep 1 Malaysia akan mudah difahami oleh generasi baru apabila sedari kecil sudah terbiasa mengikuti program yang melibatkan semua kaum dinegera ini.

"Konsep program khatan berkelompok 1 Malaysia ini adalah wajar kerana anak-anak ini masih kecil dan amat sesuai diterapkan dengan konsep ini ketika mereka masih kecil supaya apabila dewasa ia menjadi satu kebiasaan.

"Selain itu kita dapat lihat kesedaran dari aspek kesihatan apabila semakin ramai kanak-kanak bukan Islam berkhatan kerana manfaatnya yang besar kepada kesihatan mereka,"katanya.

Abu Seman berkata demikian semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Berkhatan Beramai-Ramai 1 Malaysia diBalairaya Kampung Telok Gong, disini, pagi tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kuala Linggi, Ismail Othman, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Md Abd Manap Abd Rahman, Pengerusi Gerakan Belia 4B (GB4B) Kawasan Masjid Tanah, Zaidi Mohd, Pengarah Bahagian Sahabat Belia, JKMM, Mohd Nizam Omar, Naib Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Mohd Faizal Hashim dan Pengerusi Wanita GB4B Negeri, Mas Ermieyarti Shamsudin.

Seramai 55 orang kanak-kanak Melayu, India dan Orang Asli menyertai program anjuran GB4B Gerakan Belia 4B (M) (GB4B) Kawasan Masjid Tanah dengan kerjasama Badan Sukarelawan At-Taqwa, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Alor Gajah, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah, Bahagian Sahabat Belia, JKMM, GB4B Kampung Telok Gong dan JKKK Kampung Telok Gong.

Sementara itu, Ismail berkata program itu merupakan pertama kali diadakan seumpama itu di DUN Kuala Linggi dan berharap agar ia dijadikan program tahunan.

Dalam pada itu, Zaidi yang juga Pengerusi MGBD Alor Gajah berkata program itu melibatkan lima orang kanak-kanak berketurunan India dan seorang kanak-kanak Orang Asli, manakala 49 merupakan kanak-kanak berbangsa Melayu.

"Setiap cawangan GB4B akan membawa dua orang kanak-kanak untuk dikhatankan. Ini merupakan anjuran pertama GB4B Masjid Tanah dan memandangkan sambutan yang diterima amat menggalakkan kita akan menjadikan program ini sebagai acara tahunan. Pada tahun hadapan ia akan diadakan di cawangan GB4B Paya Lebar, Masjid Tanah, katanya.