Thursday, May 8, 2008

Elok lantik Pemimpin Belia Jadi Senat


Majlis Gabungan Belia daerah alor Gajah menyokong penuh cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini supaya pemimpin belia dilantik sebagai senator.
Ini menunjukkan kerajaan serius dalam usaha mengangkat martabat belia di negara ini sebagai golongan pelapis kepimpinan masa hadapan. Dalam pada itu, belia secara langsung dapat bersama-sama pemimpin negara membina negara ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Berdasarkan pengalaman lalu, peranan belia dalam membangunkan negara merupakan suatu yang tidak dapat dinafikan. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri pernah mengasas dan mengepalai Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) suatu ketika dahulu.
Maka tidak hairanlah beliau dianugerahkan Bapa Pembangunan Belia pada 16 Mei bersempena Hari Belia Negara 2004. Pengiktirafan dan pengurniaan anugerah atas sumbangan dan jasa para belia yang berwawasan amat dihargai. Bagaimanapun, sama ada sedar ataupun tidak, peranan belia secara aktif, lebih dilihat sebagai sumbangan luar ataupun secara tidak langsung.
Belia yang terdiri daripada golongan muda tidak diberi ruang secukupnya dalam usaha membantu dan membangunkan negara secara langsung. Meskipun wujud saluran utama seperti Kementerian Belia dan Sukan, namun saluran ini amat terhad dan tidak mampu menyuarakan pandangan seluruh belia secara optima.
Suatu fakta yang tidak boleh dipandang ringan ialah golongan belia di Malaysia mewakili 60 peratus penduduk negara. Oleh yang demikian, pemimpin belia dan juga mahasiswa, perlu diberi ruang mengutarakan pandangan yang membina dan bukannya hanya tahu mengkritik dan seterusnya bersikap opportunis.
Sekiranya diamati, selama ini, isu-isu berkaitan belia sering dipolemikkan oleh golongan bukan bukan belia yang sudah lama meninggalkan arena kepimpinan belia. Kalaupun ada di kalangan pemimpin belia, jumlahnya amat sedikit dan kelihatan tenggelam.
Sememangnya, bagi mengejar suatu kejayaan, pandangan golongan yang berpengalaman amat diperlukan. Walaubagaimanapun, belia sewajarnya diberi ruang seluas-luasnya dalam mengumpul, menilai, menganalisis dan seterusnya menyatakan pandangan secara objektif dan bernas.
Atas asas inilah,Mgbdag mencadang kan supaya pemimpin belia dilantik sebagai senator, sewajarnya disokong dan diberi perhatian serius. Sebagai permulaan, MGBDAG mengesyorkan:
Pertama, senator yang bakal dilantik merupakan pemimpin belia yang berkebolehan, proaktif, dinamik dan mampu menjuarai isu-isu belia.
Kedua, pemimpin belia yang dilantik itu juga bukan ahli politik supaya pandangannya di Dewan Negara merupakan aspirasi tulen belia dan tidak bermotifkan politik semata-mata.
Ketiga, mewujudkan etika khas senator belia. Dengan wujudnya etika ini, pemimpin belia diharap dapat menjadi senator yang berwibawa dan berkualiti.
MGBDAG sekali lagi mengharapkan agar idea melantik senator di kalangan belia dikaji dan dilaksanakan seberapa segera, bukan sekadar cadangan semata-mata.

No comments: