Sunday, September 6, 2009

Konvoi Belia Prihatin Terus gegar Kampung



LONDANG – Konvoi Belia Prihatin Ramadan/Syawal siri kelapan diteruskan tahun ini apabila kira-kira 60 kereta masuk ke kampung yang dikenal pasti bagi penyerahan sumbangan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin. Setiausaha Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Mohd Nizam Omar berkata, program tahunan cetusan idea Presidennya, Datuk Idris Haron itu bertujuan meraikan golongan memerlukan untuk turut sama meraikan kedatangan 1 Syawal tidak lama lagi walaupun dalam keadaan diri mereka kurang sihat, tetapi secara tidak langsung mengukir senyuman di pagi Syawal. Beliau berkata, penyerahan sumbangan RM200 itu diagihkan meliputi barangan keperluan harian, beras dan duit Hari Raya Aidilfitri yang mana melibatkan seramai 100 penerima melibatkan enam Parlimen di negeri ini. “Dengan cara ini, kehadiran warga belia berbilang kaum di kampung-kampung sedikit sebanyak merapatkan hubungan antara penerima, keluarga juga pemimpin kampung sendiri,” katanya kepada Sinar Harian sebaik sahaja berkunjung ke rumah Pemeriksa Kira-Kira GB4B Cawangan Kampung Londang, Yusmizam Mahat di sini, semalam. Penyerahan sumbangan kepada Yusmizam itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Ab Karim Sulaiman. Hadir sama, Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Alor Gajah, Zaidi Mohd serta barisan Exco MGBM Melaka dan Daerah Alor Gajah. Terdahulu Ab Karim berkata, program tahunan anjuran MGBM Melaka itu satu langkah baik perlu diteruskan dari masa ke masa dan secara tidak langsung, membantu meringankan beban kerajaan dalam usaha menyalurkan bantuan. Katanya, kehadiran belia ke 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini sekurang-kurangnya memberi kegembiraan kepada penerima dan wajar dicontohi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain. “Tahniah dan syabas diucapkan kepada MGBM kerana sejak ditubuhkan di negeri ini, bukan sahaja program berbentuk kebajikan diutamakan, sebaliknya lain-lain bidang juga diambil perhatian selaras dengan kehendak kerajaan,” katanya. Sementara itu, Yusmizam berkata, tiada ungkapan menggembirakan, tetapi hanya syukur dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan MGBM Melaka kerana menghulurkan sumbangan menyambut kedatangan 1 Syawal tidak lama lagi. Yusmizam Mahat, 37, menderitai penyakit tukang belakang akibat kemalangan jalan raya pada 1997 dan kini hanya bergantung kepada kerusi roda bagi meneruskan hidup. Menurutnya, meskipun pergerakannya terbatas, bagaimanapun dia tetap gigih untuk cuba melaksanakan kerja ringan yang boleh membuat diri gembira, elakkan kesedihan atau perasaan putus asa. Terdahulu konvoi sehari melibatkan tiga Parlimen iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah dan Jasin itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri Melaka, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).