Sunday, April 26, 2009

Kesan Negatif Globalisasi Membimbangkan

BELIA MESTI MANTAPKAN PATRIOTISME - MOHD ALI
Usaha memantapkan semangat patriotisme di kalangan belia khususnya pemimpin- pemimpin muda yang bakal mewarisi kepimpinan masa depan negara perlu diberi perhatian serius.Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata konsep dunia tanpa sempadan boleh mengikis identiti sesebuah bangsa dan negara sekiranya golongan belia sendiri tidak sedar akan kesan negatif globalisasi. "Semangat tidak cintakan budaya sendiri dan tidak yakin dengan kemampuan bangsa menyebabkan belia mudah terpesong dan mengagungkan budaya asing. Malah kita bimbang jika semangat patriotisme tidak dipupuk, lambat laun perasaan cintakan negara akan turut lenyap dan belia di negara ini akan hilang identitinya,"kata Mohd Ali. Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kursus Patriotisme Pemimpim Muda Di bawah Jawatankuasa Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri, di Taman Botanikal, disini, pagi tadi.Turut hadir, Pengarah Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri (JKMM), Mohd Nizam Omar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN), R.Effendy Razali, dan Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Alor Gajah, Zaidi Mohd. Kursus anjuran Bahagian Sahabat Belia JKMM diadakan selama tiga hari bermula 24 April hingga 26 April dihadiri oleh 100 orang peserta di kalangan belia-belia desa, penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini.Mohd Ali berkata pengisian kursus itu amat penting kerana ia dapat membangunkan kesedaran kepentingan semangat patriotisme dan jati diri di kalangan pemimpin belia. "Program seumpama ini dapat mewujudkan role model yang boleh menjadi ikon belia dalam aspek pengukuhan elemen perpaduan dan patriotisme, menyedarkan bakal-bakal pemimpin belia ancaman yang menggangu-gugat proses negara bangsa dan mengukuhkah jaringan perpaduan pemimpin pelapis belia," katanya lagi.

Tuesday, April 21, 2009

Usaha Mantapkan Jaringankan Perniagaan 100 Belia Alor Gajah Sertai Program Usahawan




Golongan belia di negeri ini perlu sedar bahawa tidak ada jalan pintas untuk mengecapi kejayaan mahupun kesenangan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Idderis Kassim berkata, ilmu pengetahuan yang dimiliki menjadi faktor kepada kejayaan seseorang. "Jangan kita terpengaruh dengan kaedah-kaedah pintas untuk berjaya, misalnya dengan hanya berdoa dengan niat kononnya akan berjaya. "Kejayaan hanya akan datang dengan usaha dan disertai doa," katanya ketika berucap di majlis penutup Program Pemantapan Usahawan Peringkat Daerah Alor Gajah 2009 di Kompleks Rakan Muda Lendu, di sini, semalam.Turut hadir, Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah (MGBDAG), Zaidi Mohd.Program sehari anjuran MGBDAG dan Pejabat Belia dan Sukan Alor Gajah ini disertai seramai 100 belia di sekitar Daerah Alor Gajah. Sementara itu, Zaidi berkata, pengajuran program itu bertujuan mendedahkan golongan belia kepada bidang keusahawanan ketika negara kini sedang menghadapi krisis ekonomi. "Kita berharap dengan pengajuran program ini akan ada lebih ramai belia berminat menceburi bidang keusahawanan sebagai sumber pendapatan, selain kerja 'makan gaji'," katanya. Penglibatan golongan belia khususnya Melayu dalam bidang keusahawanan masih rendah, meskipun pelbagai program dianjurkan di peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT). Menerusi program itu, peserta dilatih bagaimana mengendalikan perniagaan, berurusan dengan pelanggan dan menyediakan rancangan perniagaan. Sehubungan itu, Idderis mahu program seumpama ini diteruskan dengan mendapat kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat, dan Yayasan Tekun. "Jika kita dapat menganjurkan program ini bersama MARA dan Yayasan Tekun, pasti peserta akan lebih jelas dengan prosedur pinjaman perniagaan yang ingin dijalankan,"katanya lagi.

Tuesday, April 14, 2009

Generasi Muda Perlu Ada Kesedaran Hayati Sejarah Negara Elak Perselisihan

Generasi Muda Perlu Ada KesedaranHayati Sejarah Negara Elak Perselisihan
KUALA SUNGAI BARU, 13 April - Setiap kursus anjuran persatuan belia perlu memasukkan slot sejarah negara sebagai panduan dan bimbingan kepada para belia di negeri ini. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri, Hasan Abdul Rahman berkata, golongan belia perlu didedahkan dengan sejarah perjuangan bangsa agar tidak timbul salah faham khususnya berkaitan hak-hak keistimewaan orang Melayu. "Sedikit kekecelaruan yang berlaku akhir-akhir ini dalah disebabkan ada segelintir masyarakat tidak memahami sejarah dan bagaimana Malaysia terbentuk serta mencapai kemerdekaanya,"katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Pembangunan Kepimpinan Asas (Belia Berorganisasi) Peringkat Dearah Alor Gajah 2009, di Pusat Nelayan Kuala Linggi, di sini, semalam.Turut hadir, Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah (MGBD) Zaidi Mohd dan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Abd Manap Abd Rahman. Kursus itu disertai oleh 39 belia termasuk empat belia Cina di sekitar Alor Gajah bermula Jumaat lalu dan berakhir semalam.Hasan berkata, menerusi pengalamannya ilmu yang dituntut meskipun bukan di menara gading, namun boleh dikongsi dengan masyarakat pelbagai golongan. "Kerjaya saya bermula menerusi program seperti ini (kursus), di mana saya mula aktif berpersatuan sejak di bangku sekolah, meskipun bermula di peringkat bawah, namun banyak pengalaman yang dipelajari tidak terdapat di mana-mana,"katanya. Hasan memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO sejak berusia 23 tahun. Ini menjadikan penglibatannya dengan UMNO mencecah usia 23 tahun. Menurutnya lagi, ilmu berpersatuan yang diperoleh oleh belia menerusi kursus-kursus anjuran pertubuhan belia wajar dijadikan medan untuk menyatupadukan golongan belia pelbagai kaum di negeri ini.

Bangkitlah Melayu

Orang Melayu perlu bangkit dan bersatu dalam berhadapan dengan tuntutan kaum lain yang kini dilihat semakin keterlaluan.
Mereka juga perlu sedar dan insaf dengan situasi politik semasa yang menyaksikan pelbagai tuntutan hingga boleh menjejaskan kekuatan politik orang Melayu.
Sehubungan itu, orang Melayu diminta tidak tunduk kepada tuntutan keterlaluan tersebut sebalik bangkit bersatu bagi mempertahankan hak dan kepentingan mereka.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, pemimpin bukan Melayu dalam hal ini perlu sedar yang sesebuah kerajaan itu boleh sahaja untuk tidak ‘melayan’ tuntutan mereka.
Katanya, jumlah kerusi terbanyak di Parlimen adalah milik Melayu dan ia cukup untuk membentuk sebuah kerajaan berasaskan wakil rakyat Melayu semata-mata di negara ini.
Katanya, justeru, dari segi politiknya kerajaan itu sepatutnya memenuhi apa sahaja yang menjadi kehendak Melayu kerana mereka adalah majoriti dan bukan asyik bertolak ansur dengan bukan Melayu.
‘‘Parti Melayu akan kuat bila Melayu dijaga. Jadi UMNO kena fokus orang Melayu. Jadi UMNO tak perlu takut kerana saya lihat bila UMNO itu kuat orang bukan Melayu automatik akan sokong juga Barisan Nasional (BN) macam dulu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pandangan mengenai situasi politik semasa yang menyaksikan kedudukan politik Melayu seakan terancam dengan tuntutan bukan Melayu pada masa kini.
Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata, parti pemerintah ketika ini tidak boleh merasa bimbang untuk membuat apa sahaja keputusan yang dilihat perlu untuk membantu orang Melayu.
“UMNO kalau kita tengok Fasal 3 perlembagaannya ialah memperjuangkan hak Melayu.
“Pada masa sama orang Melayu pun kenalah sedar, asyik bercakaran sesama sendiri, tak untung Melayu sedangkan kita main politik untuk apa kalau tidak untuk membela Melayu.
“Jadi UMNO dan Pas kena duduk, tak kan dalam berbeza tak ada persamaan. Atas persamaan ini kita duduklah semeja dulu,” jelasnya.
Pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, dalam soal wakil Kabinet misalnya, semua pihak harus menerima pilihan Perdana Menteri kerana ia bidang kuasa beliau.
“Saya fikir kalau dilayan, Najib tak akan ada kerja lain.
“Apa pun ini akan mengajar UMNO supaya terus kuat. Bila kuat, orang segan, kalau lemah orang kucar kacirkan,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, hak orang Melayu tidak harus dilepaskan dalam usaha kerajaan memenuhi kehendak masyarakat pelbagai kaum.
“Biar wujud situasi menang-menang. Kita tidak boleh biar sebelah pihak sahaja menang. Kalau kita nak penuhi apa yang mereka nak, jangan pula kita lepaskan apa yang jadi hak kita,’’ katanya.
Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, walaupun kerajaan mahu menekankan konsep Satu Malaysia yang menyatukan rakyat pelbagai kaum, langkah juga perlu dilakukan bagi mengembalikan keharmonian di kalangan orang Melayu sendiri.
“Dalam keadaan sekarang ini, orang Melayu berhadapan banyak cabaran semasa dan kita perlu mencari cara untuk memastikan kaum itu tidak berpecah-belah,” katanya.
Katanya, UMNO dan Pas tidak boleh melengah-lengahkan masa lagi untuk bekerjasama dalam memajukan orang Melayu.
Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar yang sependapat dengan GPMS berkata, cadangan yang baik seperti itu perlu dilaksanakan secepat mungkin.
Katanya, kerjasama antara dua parti politik itu bukan sahaja akan memberi faedah kepada orang Melayu sahaja tetapi juga kaum lain.
Tambahnya, penyatuan UMNO dan Pas perlu menjadi batu loncatan untuk mengeratkan semua rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Sememangnya usaha ke arah itu akan mengambil masa tetapi sekurang-kurangnya kita tidak hanya bercakap atau mencadangkan sahaja,’’ tambahnya

Saya PM Semua Komuniti

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan keazaman beliau untuk menjadi Perdana Menteri bagi semua komuniti tanpa mengira agama dan kaum.
Sejajar hasratnya itu, katanya, beliau akan berusaha menyatupadukan rakyat berasaskan konsep Satu Malaysia yang intipati utamanya berlandas kepada semangat saling mempercayai dan hormat menghormati antara satu sama lain.
“Kita mesti meruntuhkan sebarang halangan antara kaum dan tidak seharusnya melihat antara satu sama lain berasaskan warna kulit.
“Setiap orang mesti menolong satu sama lain tidak kira mereka daripada komuniti mana. Kalau individu ini patut ditolong, dia sepatutnya dan mesti ditolong oleh kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Vaisakhi di Kuil Tatt Khalsa Diwan, Chow Kit di sini.
Beliau menghadiri majlis itu dengan memakai songkok sebagai menghormati peraturan kuil yang mensyaratkan pengunjung mesti menutup kepala.
Menurut Najib, beliau percaya sekiranya semua kaum dapat menghayati konsep Satu Malaysia dengan bekerja sebagai satu pasukan atau keluarga, ia akan menjadikan negara ini lebih kuat dan makmur.
Menyentuh kehadirannya ke majlis hari ini, beliau berkata, ia sebagai mengiktiraf dan mengucapkan terima kasih terhadap sumbangan kaum Sikh kepada pembangunan Malaysia.
“Walaupun kaum Sikh di negara ini agak kecil iaitu kira-kira 100,000 orang, tetapi sumbangan mereka terhadap sejarah dan pembangunan negara amat besar dan bermakna. Saya berharap mereka akan terus bersama-sama dengan kerajaan pada masa depan,” ujarnya.