Sunday, September 6, 2009

Konvoi Belia Prihatin Terus gegar Kampung



LONDANG – Konvoi Belia Prihatin Ramadan/Syawal siri kelapan diteruskan tahun ini apabila kira-kira 60 kereta masuk ke kampung yang dikenal pasti bagi penyerahan sumbangan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin. Setiausaha Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Mohd Nizam Omar berkata, program tahunan cetusan idea Presidennya, Datuk Idris Haron itu bertujuan meraikan golongan memerlukan untuk turut sama meraikan kedatangan 1 Syawal tidak lama lagi walaupun dalam keadaan diri mereka kurang sihat, tetapi secara tidak langsung mengukir senyuman di pagi Syawal. Beliau berkata, penyerahan sumbangan RM200 itu diagihkan meliputi barangan keperluan harian, beras dan duit Hari Raya Aidilfitri yang mana melibatkan seramai 100 penerima melibatkan enam Parlimen di negeri ini. “Dengan cara ini, kehadiran warga belia berbilang kaum di kampung-kampung sedikit sebanyak merapatkan hubungan antara penerima, keluarga juga pemimpin kampung sendiri,” katanya kepada Sinar Harian sebaik sahaja berkunjung ke rumah Pemeriksa Kira-Kira GB4B Cawangan Kampung Londang, Yusmizam Mahat di sini, semalam. Penyerahan sumbangan kepada Yusmizam itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Ab Karim Sulaiman. Hadir sama, Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Alor Gajah, Zaidi Mohd serta barisan Exco MGBM Melaka dan Daerah Alor Gajah. Terdahulu Ab Karim berkata, program tahunan anjuran MGBM Melaka itu satu langkah baik perlu diteruskan dari masa ke masa dan secara tidak langsung, membantu meringankan beban kerajaan dalam usaha menyalurkan bantuan. Katanya, kehadiran belia ke 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini sekurang-kurangnya memberi kegembiraan kepada penerima dan wajar dicontohi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain. “Tahniah dan syabas diucapkan kepada MGBM kerana sejak ditubuhkan di negeri ini, bukan sahaja program berbentuk kebajikan diutamakan, sebaliknya lain-lain bidang juga diambil perhatian selaras dengan kehendak kerajaan,” katanya. Sementara itu, Yusmizam berkata, tiada ungkapan menggembirakan, tetapi hanya syukur dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan MGBM Melaka kerana menghulurkan sumbangan menyambut kedatangan 1 Syawal tidak lama lagi. Yusmizam Mahat, 37, menderitai penyakit tukang belakang akibat kemalangan jalan raya pada 1997 dan kini hanya bergantung kepada kerusi roda bagi meneruskan hidup. Menurutnya, meskipun pergerakannya terbatas, bagaimanapun dia tetap gigih untuk cuba melaksanakan kerja ringan yang boleh membuat diri gembira, elakkan kesedihan atau perasaan putus asa. Terdahulu konvoi sehari melibatkan tiga Parlimen iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah dan Jasin itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri Melaka, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Wednesday, August 26, 2009

Kibaran Jalur Gemilang Masih 'lesu'



Sibuk mana kita dalam mengharungi bulan Ramadan kali ini, janganlah sesekali melupakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam usaha merancakkan penghayatan Hari Merdeka yang hanya tinggal lima hari sahaja melalui pemasangan Jalur Gemilang. Apa yang mengecewakan, setiap kali melalui mana-mana kawasan, kita hanya dapat melihat kibaran Jalur Gemilang yang dipasang ‘percuma’ oleh pihak atau agensi kerajaan atau swasta. Bagaimanapun hanya segelintir masyarakat mengambil inisiatif memasang sendiri Jalur Gemilang di premis masing-masing. Persoalannya, mengapa sudah masuk 52 tahun merdeka, tetapi segelintir masyarakat masih malu untuk mengibarkan Jalur Gemilang? KUALA SUNGAI BARU – Tiada paksaan dalam mengibarkan Jalur Gemilang, bagaimanapun ia sepatutnya menjadi kemestian bagi kita menunjukkan rasa cinta pada keamanan yang kita kecapi sempena Hari Kemerdekaan 31 Ogos. Walaupun setiap tahun pemimpin kerap mengingati rakyatnya agar mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi masih ada sesetengah masyarakat yang hanya mengambil ringan perkara ini, sedangkan ia sepatutnya sudah sebati dalam diri kita. Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Alor Gajah, Zaidi Mohd berkata, menyedari tanggungjawab menyemarakkan sambutan kemerdekaan, justeru satu majlis penyerahan Jalur Gemilang bersaiz kecil untuk dipasang di kenderaan merupakan program kedua dilaksanakan selaras dengan apa dirancang pihaknya. Katanya, untuk memberi galakan kepada rakyat khususnya di sekitar daerah Alor Gajah menggantung Jalur Gemilang di kawasan kediaman, kedai, bangunan, sekolah, pusat membeli-belah mahupun hotel dan resort bukan satu perkara mudah, sebaliknya kita hanya boleh mengingati bersama iaitu mengajak memasang Jalur Gemilang sebagai satu tanggungjawab. “Tiada paksaan dan kita pun turut menyedari bahawa orang kita bukanlah budak kecil yang perlu sentiasa diingatkan, namun kalau kita berfikir bahawa ia adalah tanggungjawab bersama, maka laksanakanlah (memasang bendera). “Dalam segala perkara terutama aspek pemasangan Jalur Gemilang ini, tiada mana pihak yang memaksa. Kita inginkan sambutan 31 Ogos setiap tahun tidak lesu sehinggakan anak-anak kecil hari ini ada juga kalau ditanya tidak mengetahui apakah itu merdeka,” katanya kepada Sinar Harian sempena Program Kibar Jalur Gemilang dan Kempen Keselamatan Jalan Raya berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Yok Sin di Pekan Kuala Sungai Baru di sini, semalam. Program setengah hari itu diketuai oleh Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Ar Ismail Othman dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Melaka, Norazle Sulaiman anjuran MGBD Alor Gajah, Gerakan Belia 4B Kawasan Masjid Tanah, JKJKR Melaka dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Ketenteraman Awam/Trafik Alor Gajah. Sebanyak 200 Jalur Gemilang bersaiz kecil diedarkan kepada pengguna jalan raya termasuk risalah keselamatan daripada JKJR Melaka. Menurut Zaidi, walaupun dalam bulan Ogos ini seluruh umat Islam menyambut Ramadan, namun jangan jadikan bulan puasa sebagai alasan tidak boleh meraikan Hari Merdeka. Beliau berkata, mengibarkan Jalur Gemilang atau sebaliknya, datang daripada diri individu itu sendiri dan adalah sesuatu yang merugikan jika kita membiarkan hari istimewa berkenaan terus dingin. “Setiap tahun, inilah situasi yang kita terpaksa terima iaitu sikap tidak kisah sama ada kita lakukan sambutan kemerdekaan atau pun tidak,” katanya. Sementara itu, Norazle yang sependapat dengan Zaidi berkata, pihak JKJR Melaka sendiri setiap minggu akan menganjurkan banyak program keselamatan jalan raya, selain bertindak sama dalam soal penyerahan risalah keselamatan dan Jalur Gemilang. Katanya, sukar untuk mendorong seseorang individu mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi apa yang dilihat, suasana sambutan Bulan Kemerdekaan setiap tahun semakin hambar. “Kita berharap misalnya tahun ini, marilah bersama kita raikan sambutan hari Merdeka walaupun kita (umat Islam) sedang berpuasa. Malah, masyarakat beragama lain sewajarnya menggerakkan bersama kerana bukan senang untuk kita menyambutnya (Hari Merdeka) kalau bukan daripada diri kita sendiri,” katanya. Dalam pada itu, sikap menunggu pemberian Jalur Gemilang secara percuma merupakan aspek susah untuk dibendung dalam kalangan orang kita masa kini. Beliau berkata, walaupun kerajaan menyalurkan peruntukan dalam perkara itu, janganlah jadikan ia sebagai kebiasaan untuk masyarakat hanya menunggu pengagihan Jalur Gemilang, memandangkan harganya di pasaran tidaklah semahal mana. “Saya sendiri terkejut apabila memberi Jalur Gemilang bersaiz kecil kepada pengguna jalan raya, ada yang berkata: encik, saiz besar ada tak? Ini menggambarkan satu situasi kurang baik sekiranya diamalkan dalam diri kita. “Sepatutnya kita perlu melatih diri membeli tanpa bergantung kepada orang lain kalau benar kita ini anak Malaysia,” katanya.

Wednesday, August 12, 2009

Paintball jadi sukan tahunan




MASJID TANAH – Sukan paintball semakin mendapat perhatian masyarakat di negara ini terutama anak muda kampung walaupun pada awalnya, dimainkan di kawasan bandar. Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan, Datuk Ab Karim Sulaiman berkata, walaupun pada dasarnya melihat sukan itu lasak meliputi keberanian, kerjasama dan kemahiran teknikal, namun berupaya menerapkan nilai murni dalam diri setiap individu yang menyertainya. Menurutnya, melihat sukan itu mendapat perhatian masyarakat di sekitar Parlimen Masjid Tanah, pastinya akan dijadikan acara tahunan untuk setiap kawasan di sini. “Saya yakin, jika kita menganjurkan sukan ini dengan memanggil anak muda khususnya tanpa mengira kaum, bangsa dan agama sudah pasti dapat mengurangkan masalah sosial di luar sana,” katanya sebaik melawat gerai peralatan sukan paintball di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Jeram di sini. Ab Karim juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, walaupun sukan itu masih baru di negara ini, namun penyertaannya menggalakkan. Katanya, paintball boleh disertai semua lapisan masyarakat kerana paintball dimainkan atas dasar kebijaksanaan, ketepatan strategi serta peluang memegang senjata ketika bertempur. “Saya harap, anak muda menjadikan sukan ini sebagai tambahan aktiviti sukan dalam kampung,” katanya.

Thursday, July 23, 2009

Jadikan Ibu Bapa Sebagai'Role Model'

PENGKALAN BALAK, 23 Julai – Golongan belia di negeri ini disaran supaya menjadikan kejayaan ibu bapa masing-masing sebagai 'role model' untuk menjadikan diri mereka sebagai generasi pewaris yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ab Karim Sulaiman berkata, golongan belia wajar berikhtiar memajukan diri masing-masing untuk menjadi individu yang berjaya dan cemerlang.Menurutnya, anak muda perlu menyahut seruan dan saranan Kerajaan walaupun mengalami kesukaran, tetapi cuba memberanikan diri membuktikan akan kebolehan mereka sebagai pewaris negara suatu hari nanti.“Selagi kita boleh berjaya, buktikan kepada keluarga dan jangan membiarkan diri kamu (belia) terus dipandang rendah oleh masyarakat,” katanya sempena program Rakan Muda (IPT) di sebuah resort di sini.Ab Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, anak-anak muda hari ini perlu menjadikan ibu bapa sebagai role-model bagaimana menjadi seorang belia yang disegani dan digeruni di mata masyarakat.Katanya, corak kehidupan belia dahulu dan sekarang memperlihatkan kelainan begitu ketara, malah sewajarnya mencari suatu pendekatan baru untuk tidak melihatkan orang luar memperlekehkan kebolehan anak muda sekarang.“Rebut peluang ini, dan mana-mana pertubuhan belia diwujudkan, ambil sebagai panduan mahupun menyertainya supaya boleh membantu menggerakkan jati diri dengan lebih esifien dan bertanggungjawab,” katanya.

Tuesday, July 21, 2009

Tokoh Kesukarelawan Belia 2009

Zaidi Buktikan Persatuan Belia Mampu Jana Belia Cemerlang
AYER KEROH, 14 Julai - Semangat kesukarelawan yang tinggi tanpa mengharapkan sebarang ganjaran merupakan antara faktor yang membolehkan Zaidi Mohd merangkul anugerah.Zaidi telah merangkul Anugerah Belia Negara Kategori Kesukarelawan Peringkat Negeri 2009 itu pada sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri, 11 Julai lalu. Zaidi yang merupakan Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah (MGBDAG) mula aktif dalam kegiatan belia setelah menubuhkan Gerakan Belia 4B (GB4B) Cawangan Kampung Telok Gong pada tahun 1999. "Saya bersama saudara Abu Bakar Darom (Penasihat GB4B Cawangan Kampung Telok Gong) menubuhkan cawangan ini setelah mendapati kawasan kami tiada persatuan belia,"katanya semasa ditemubual wartawan Melaka Hari Ini (MHI). Diperingkat Daerah, Zaidi dilantik sebagai Naib Pengerusi Remaja GB4B Kawasan Alor Gajah pada tahun 2001 hingga 2004, selain menjawat jawatan Naib Pengerusi Remaja Kawasan Masjid Tanah hingga kini.Beliau turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Sekretariat Rakan Muda Alor Gajah dari tahun 2001 hingga 2003. Pada tahun 2003, beliau dilantik sebagai Bendahari pertubuhan itu hingga kini. Zaidi dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa MGBDAG pada tahun 2001 hingga 2004 dan kemudian dilantik sebagai Naib Pengerusi II MGBDAG sehingga tahun 2008. Pada 20 November 2008, Zaidi dilantik pula sebagai Pengerusi MGBDAG sehingga kini. Selain pertubuhan belia, Zaidi turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kelab Program Tanpa AIDS Remaja (PROSTAR) Daerah Alor Gajah bermula tahun 2004 sehingga kini. Pencapaiannya di peringkat Negeri, Zaidi dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa GB4B Negeri pada tahun 2001 hingga 2003. Beliau turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) pada tahun 2004 sehingga kini. Manakala diperingkat kebangsaan, Zaidi dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Gerakan Remaja Kebangsaan pada tahun 2005 sehingga kini. Selain terlibat aktif dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Zaidi turut aktif di dalam arena politik. Antaranya, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Telok Gong dari tahun 2000 hingga 2002. Diperingkat Bahagian pula, Zaidi pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Pembangunan Belia UMNO Bahagian Alor Gajah yang kini dikenali sebagai UMNO Bahagian Masjid Tanah dari tahun 2001 hingga 2003. Kini, Zaidi menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Biro Pembangunan Belia Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah. , merangkul sembilan anugerah sebelum ini di sepanjang penglibatannya dalam aktiviti belia dan sukarelawan. Antaranya, Anugerah Penghargaan Cawangan Aktif Peringkat Kawasan Masjid Tanah 2001-2002, Pingat Bakti Belia 2009, dan Anugerah Cawangan Ahli Teramai Peringkat Kawasan Masjid Tanah 2005.Selepas menamatkan persekolahan, Zaidi bekerja di sebuah kilang selama tiga tahun. Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai nelayan selama dua tahun bagi membantu arwah abangnya. Selepas beberapa tahun bergiat aktif didalam pertubuhan belia, Zaidi kemudiannya berjinak-jinak dengan perniagaan kontraktor, lima tahun lalu.

Wednesday, May 27, 2009

Usaha Jadikan Melaka Negeri Belia

Kursus Kepimpinan Mampu Lahir Pelapis Cemerl
Persatuan belia di negeri ini disaran menganjurkan kursus kepimpinan di pelbagai peringkat bagi mencari generasi pemimpin pelapis persatuan belia. Pengarah Perkhidmatan Barisan Nasional Negeri, (PEMBELA BN), Ali Muhammad berkata, langkah itu penting selaras menjadikan Melaka sebagai Negeri Belia. "Gejala sosial membabitkan golongan belia perlu dipandang serius dan menerusi aktiviti persatuan belia, kita dapat mendekati belia, sekaligus mengelakkan mereka terjebak dengan gejala keruntuhan moral,"katanya. Ali berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutup Kursus Profesionalisme Persatuan Belia dan Pengucapan Awam Peringkat Daerah Alor Gajah dan Pelancaran Identiti Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Alor Gajah di sebuah hotel, di sini, semalam.Beliau turut mencadangkan agar MGBD Alor Gajah menganjurkan Kursus Bahasa Inggeris kepada semua ahli persatuan belia untuk menguasai bahasa itu di masa akan datang. Turut hadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah, Setiausaha MGBM, Mohd Nizam Omar dan Pengerusi MGBD Alor Gajah, Razak Abu Hasan. Seramai 80 peserta terdiri jawatankuasa badan-badan gabungan di bawah MGBD Melaka Tengah hadiri kursus tersebut.Antaranya, Kelab Belia Malaysia (MAYC), Kelab Belia India Malaysia (MIYC), Gerakan Belia 4B (GB4B), Kelab Belia Bell Tamil (KBBT) dan Gerakan Belia Bersatu (GBB). Sementara itu, seramai 25 jawatankuasa MGBD Alor Gajah bagi Sesi 2008/2010 yang dipilih semasa Mesyuarat Agung MGBD Melaka Tengah sekitar Januari 2009 menerima watikah pelantikan dari Ali.

Sunday, May 17, 2009

Semai Aspirasi '1Belia'Cari Persamaan

Generasi belia perlu menyelami aspirasi 'Satu Belia' dan menterjemahkannya secara lahiriah seiring konsep '1Malaysia'. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seterusnya menyeru generasi belia pelbagai kaum di negara ini agar berusaha mencari persamaan dan mengelakkan perbezaan untuk memelihara dan mengekalkan perpaduan. "Ia (perpaduan) bukanlah tanggungjawab Kerajaan atau pihak-pihak tertentu sahaja, tetapi setiap daripada kita tidak terkecuali daripada tugas dan tanggungjawab itu," katanya. Muhyiddin berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Dewan Pameran, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), disini petang tadi. Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Katanya, belia perlu bersama Kerajaan dalam memastikan masyarakat tidak mudah hilang pertimbangan dan membenarkan emosi menguasai diri mereka. Golongan belia juga katanya perlu melakukan pembukaan minda dan perubahan budaya, kaya kefahaman dan kreativiti serta berupaya menjadikan jati diri bangsa dan negara sebagai akar patriotisme. Muhyiddin berkata perubahan persekitaran hidup belia kini perlu ditangani dengan perubahan pada program pembangunan belia daripada bersifat konvensional kepada bersifat pragmatik dan holistik berteraskan pembangunan modal insan. Penekanan perlu diberikan terhadap pembangunan ilmu pengetahuan,kemahiran, modal intelektual, termasuk ilmu sains teknologi, dan keusahawanan. Beliau mencadangkan "Satu Perkongsian Pintar" perlu diwujudkan antara belia dan pelbagai komuniti masyarakat, swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), dan agensi Kerajaan bagi mengukuhkan gerakan belia di negara ini.