Sunday, May 17, 2009

Semai Aspirasi '1Belia'Cari Persamaan

Generasi belia perlu menyelami aspirasi 'Satu Belia' dan menterjemahkannya secara lahiriah seiring konsep '1Malaysia'. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seterusnya menyeru generasi belia pelbagai kaum di negara ini agar berusaha mencari persamaan dan mengelakkan perbezaan untuk memelihara dan mengekalkan perpaduan. "Ia (perpaduan) bukanlah tanggungjawab Kerajaan atau pihak-pihak tertentu sahaja, tetapi setiap daripada kita tidak terkecuali daripada tugas dan tanggungjawab itu," katanya. Muhyiddin berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Dewan Pameran, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), disini petang tadi. Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Katanya, belia perlu bersama Kerajaan dalam memastikan masyarakat tidak mudah hilang pertimbangan dan membenarkan emosi menguasai diri mereka. Golongan belia juga katanya perlu melakukan pembukaan minda dan perubahan budaya, kaya kefahaman dan kreativiti serta berupaya menjadikan jati diri bangsa dan negara sebagai akar patriotisme. Muhyiddin berkata perubahan persekitaran hidup belia kini perlu ditangani dengan perubahan pada program pembangunan belia daripada bersifat konvensional kepada bersifat pragmatik dan holistik berteraskan pembangunan modal insan. Penekanan perlu diberikan terhadap pembangunan ilmu pengetahuan,kemahiran, modal intelektual, termasuk ilmu sains teknologi, dan keusahawanan. Beliau mencadangkan "Satu Perkongsian Pintar" perlu diwujudkan antara belia dan pelbagai komuniti masyarakat, swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), dan agensi Kerajaan bagi mengukuhkan gerakan belia di negara ini.

No comments: