MASJID TANAH – Sukan paintball semakin mendapat perhatian masyarakat di negara ini terutama anak muda kampung walaupun pada awalnya, dimainkan di kawasan bandar. Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan, Datuk Ab Karim Sulaiman berkata, walaupun pada dasarnya melihat sukan itu lasak meliputi keberanian, kerjasama dan kemahiran teknikal, namun berupaya menerapkan nilai murni dalam diri setiap individu yang menyertainya. Menurutnya, melihat sukan itu mendapat perhatian masyarakat di sekitar Parlimen Masjid Tanah, pastinya akan dijadikan acara tahunan untuk setiap kawasan di sini. “Saya yakin, jika kita menganjurkan sukan ini dengan memanggil anak muda khususnya tanpa mengira kaum, bangsa dan agama sudah pasti dapat mengurangkan masalah sosial di luar sana,” katanya sebaik melawat gerai peralatan sukan paintball di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Jeram di sini. Ab Karim juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, walaupun sukan itu masih baru di negara ini, namun penyertaannya menggalakkan. Katanya, paintball boleh disertai semua lapisan masyarakat kerana paintball dimainkan atas dasar kebijaksanaan, ketepatan strategi serta peluang memegang senjata ketika bertempur. “Saya harap, anak muda menjadikan sukan ini sebagai tambahan aktiviti sukan dalam kampung,” katanya.
No comments:
Post a Comment