Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan Program Kepimpinan Elit bagi mendedahkan golongan belia mengenai aspek kepimpinan.
Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, mereka yang terpilih mengikuti program itu berpeluang menjalani latihan amali di agensi kerajaan dan melihat sendiri operasi sesebuah kementerian.
''Mereka akan ditempatkan di bawah seliaan mentor di kalangan menteri dan timbalan menteri dan ini membolehkan belia mendapatkan ilmu kepimpinan daripada mereka yang berpengalaman.
''Program selama setahun itu akan mula dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan selepas kertas kerja mengenainya dibentangkan di Kabinet tidak lama lagi,'' katanya selepas mempengerusikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang 2, 2009-2010 di sini hari ini.
Persidangan itu membincangkan hala tuju belia pada masa akan datang dan transformasi bagi membolehkan persatuan belia menghadapi cabaran semasa.
Shabery berkata, seramai 100 hingga 150 belia akan terlibat dalam program di bawah panel jawatankuasa khas yang akan dibentuk tidak lama lagi
Menurutnya, program tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian yang meliputi kursus intensif, praktikal dan menempatkan mereka di pejabat-pejabat di peringkat zon dan daerah.
''Belia yang mengikuti program ini akan mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang tinggi dan kita percaya mereka akan menjadi buruan pihak kementerian dan juga swasta," katanya.
Sementara itu, katanya, KBS turut merangka program melatih seramai 5,000 belia sebagai pemimpin pelapis bagi menggantikan kepimpinan sedia ada.
Menurutnya, kebanyakan pemimpin sekarang melebihi had umur 40 tahun dan mengikut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 mereka perlu melepaskan jawatan itu.
''Mahu atau tidak, kita perlu melatih generasi muda dan memberi kepercayaan kepada mereka menerajui persatuan ke arah yang lebih baik pada masa hadapan,'' katanya
No comments:
Post a Comment