Monday, January 11, 2010

ISU KALIMAH ‘ALLAH’ PERLU DISELESAIKAN DAN JANGAN DIWARISKAN KEPADA GENERASI MUDA

Kenyataan Akhbar Majlis Belia Sabah (MBS)

ISU KALIMAH ‘ALLAH’ PERLU DISELESAIKAN DAN JANGAN DIWARISKAN KEPADA GENERASI MUDA

1. Majlis Belia Sabah (MBS) mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab yang menjadikan Rumah Ibadat sebagai sasaran untuk melahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Majalah The Herald: The Catholic Weekly menggunakan kalimah ‘Allah’ pada 31 Disember 2009.

2. Majlis Belia Sabah yang terdiri daripada 10 badan gabungan iaitu Pengakap, Pandu Puteri, ABIM, Puteri Islam, YMM, JCI, GBBM, St. John’s, Briged Putera dan Briged Puteri meminta agar rakyat di Sabah tidak mengambil tindakan serupa kerana ianya akan mengeruhkan lagi keadaan dan menjejaskan keharmonian bermasyarakat yang sedia terjalin selama ini. MBS berharap agar pihak berkuasa dapat meningkatkan kawalan agar perkara tersebut tidak belaku dinegeri ini.

3. Seterusnya Saya menyarankan agar semua pihak mengambil tindakan secara rasional dan bukan berdasarkan emosi. Semua perlu ambil maklum bahawa perkara ini adalah isu dasar dan kritikal yang melibatkan Akidah dan Kepercayaan agama ummat Islam dan penganut Kristian. Penyelesaian yang bersandarkan ilmu yang benar dengan mengambilkira sejarah, perlembagaan dan kontrak sosial serta semangat perpaduan Negara ini perlu diambilkira. Kita tidak mahu isu ini diwariskan kepada generasi muda dan generasi seterusnya kerana khuathir mereka tidak dapat menanggapi isu ini secara rasional seperti majoriti rakyat Malaysia sekarang ini.

4. Ruang untuk berdialog dan berinteraksi perlu disuburkan supaya semua pihak yang berautoriti dapat memberi pandangan tentang isu ini. Sebagai contoh, saranan Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Seri Panglima Clarence Bongkos Malakun perlu diambilkira dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Saranan tersebut sebenarnya cuba untuk memadamkan “punca api yang menyebabkan kebakaran yang sedang berlaku”.

5. Akhirnya, Majlis Belia Sabah berharap agar para belia dan generasi muda di negeri ini agar bertindak secara rasional. Marilah kita sama-sama berdoa agar isu ini dapat diselesaikan secara baik supaya kita dapat meneruskan agenda memperkasa belia dan generasi muda agar menjadi insan dan warganegara yang memberi manafaat kepada pembangunan negeri dan Negara.

Di keluarkan oleh:

Mustapha Haji Sakmud

Presiden, Majlis Belia Sabah, 12 Jan 2010.

No comments: