Tuesday, December 29, 2009

MGBD Alor Gajah & GB4B Masjid Tanah Rai 50 Anak Yatim Sempena 10 Muharram

Usaha Semarakkan Aktiviti Kemasyarakatan
MGBD Alor Gajah & GB4B Masjid Tanah Rai 50 Anak Yatim Sempena 10 Muharram

MASJID TANAH, 29 Dis - Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Alor Gajah dengan kerjasama Gerakan Belia 4B (GB4B)Masjid Tanah mengambil inisiatif meraikan 50 orang anak yatim dari kawasan Masjid Tanah bersempena dengan sambutan 10 Muharram.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ab Karim Sulaiman berkata penganjuran program menunjukkan golongan belia sudah mula menunjukkan kesedaran mengenai sambutan 10 Muharram.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada MGBD Alor Gajah dan GB4B Masjid Tanah kerana berjaya menganjurkan program ini bagi memupuk kesedaran di kalangan golongan belia untuk menghayati erti 10 Muharam.

"Adalah menjadi tanggungjawab ahli pertubuhan belia untuk mendekati golongan yang lebih muda misalnya anak-anak yatim dengan program-program keagamaan untuk membina sahsiah cemerlang apabila mereka dewasa," katanya.

Ab Karim berkata demikian ketika berucap di Majlis Bersama Anak Yatim Sempena 10 Muharram 1431 Hijrah di Masjid Al-Muttaqin Kampung Masjid Tengah, Solok Air Batu, disini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi GB4B Negeri, Mohd Nizam Omar yang juga Setiausaha Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Pengerusi GB4B Masjid Tanah, Zaidi Mohd merangkap Pengerusi MGBD Alor Gajah, dan Naib Presiden MGBM, Mohd Faizal Hashim.

Hadir sama, Pengerusi JKKK Solok Air Batu, Mohamad Othman, dan Naib Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Talib Bachek.

Ab Karim berkata usaha-usaha murni pertubuhan belia wajar diteruskan demi kebaikan masyarakat secara amnya.

"Program-program seumpama ini wajar diteruskan bagi memastikan golongan anak yatim dibantu agar tidak tercicir di dalam pelajaran selaras dengan Melaka Maju 2010,"katanya.

Sementara itu, Mohd Nizam berkata penganjuran program itu wajar dijadikan contoh oleh mana-mana pertubuhan belia di negeri ini untuk sama-sama membantu anak yatim.

Program itu merupakan anjuran bersama dengan Pejabat Belia Daerah Alor Gajah dan Lembaga Masjid Al-Muttaqin.

Turut diadakan sesi ceramah 10 Muharram dan mengusap kepala anak yatim sebagai peroleh berkat 10 Muharram. Anak-anak turut menerima sumbangan wang tunai.


No comments: