Sunday, December 6, 2009

6 Dec 2009 Majlis Berkhatan Beramai-Ramai 1Malaysia

TELOK GONG, 6 Dis - Jika satu ketika dahulu tradisi melihat kanak-kanak lelaki Islam merupakan satu pemandangan biasa namun situasi berubah apabila ramai kanak-kanak lelaki bukan Islam turut serta didalam program berkhatan berkelompok.

Meskipun jumlah itu tidak ramai, namun ia memberikan impak baik kepada masyarakat khususnya diperingkat akar umbi apabila program seumpama itu dapat mendekatkan rakyat dengan konsep 1 Malaysia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata penerapan konsep 1 Malaysia akan mudah difahami oleh generasi baru apabila sedari kecil sudah terbiasa mengikuti program yang melibatkan semua kaum dinegera ini.

"Konsep program khatan berkelompok 1 Malaysia ini adalah wajar kerana anak-anak ini masih kecil dan amat sesuai diterapkan dengan konsep ini ketika mereka masih kecil supaya apabila dewasa ia menjadi satu kebiasaan.

"Selain itu kita dapat lihat kesedaran dari aspek kesihatan apabila semakin ramai kanak-kanak bukan Islam berkhatan kerana manfaatnya yang besar kepada kesihatan mereka,"katanya.

Abu Seman berkata demikian semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Berkhatan Beramai-Ramai 1 Malaysia diBalairaya Kampung Telok Gong, disini, pagi tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kuala Linggi, Ismail Othman, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Md Abd Manap Abd Rahman, Pengerusi Gerakan Belia 4B (GB4B) Kawasan Masjid Tanah, Zaidi Mohd, Pengarah Bahagian Sahabat Belia, JKMM, Mohd Nizam Omar, Naib Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Mohd Faizal Hashim dan Pengerusi Wanita GB4B Negeri, Mas Ermieyarti Shamsudin.

Seramai 55 orang kanak-kanak Melayu, India dan Orang Asli menyertai program anjuran GB4B Gerakan Belia 4B (M) (GB4B) Kawasan Masjid Tanah dengan kerjasama Badan Sukarelawan At-Taqwa, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Alor Gajah, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah, Bahagian Sahabat Belia, JKMM, GB4B Kampung Telok Gong dan JKKK Kampung Telok Gong.

Sementara itu, Ismail berkata program itu merupakan pertama kali diadakan seumpama itu di DUN Kuala Linggi dan berharap agar ia dijadikan program tahunan.

Dalam pada itu, Zaidi yang juga Pengerusi MGBD Alor Gajah berkata program itu melibatkan lima orang kanak-kanak berketurunan India dan seorang kanak-kanak Orang Asli, manakala 49 merupakan kanak-kanak berbangsa Melayu.

"Setiap cawangan GB4B akan membawa dua orang kanak-kanak untuk dikhatankan. Ini merupakan anjuran pertama GB4B Masjid Tanah dan memandangkan sambutan yang diterima amat menggalakkan kita akan menjadikan program ini sebagai acara tahunan. Pada tahun hadapan ia akan diadakan di cawangan GB4B Paya Lebar, Masjid Tanah, katanya.




No comments: