Wednesday, December 23, 2009

GB4B Masjid Tanah di Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia ke-34 di Puteri Resort

Kuasa dalam kerajaan tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur kejayaan kepimpinan Gerakan Belia 4B.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, terdapat kebimbangan dalam kalangan ahli berikutan kepimpinan muda bukan lagi dianggotai individu berkuasa dalam kerajaan.

Beliau yang juga Presiden Perwakilan Belia Sedunia (Way) dan Ketua Menteri menjelaskan, kejayaan pertubuhan belia itu bergantung kepada keupayaan kepimpinan muda memahami aspirasi dan kehendak ahli.

“Dewasa ini, ahli Gerakan Belia 4B mengharapkan kepimpinan dinamik, agresif, inovatif dan cergas.

“Barisan kepimpinan muda juga perlu memiliki keupayaan dan kepakaran menggunakan peluang tersedia bagi menggerakkan aktiviti,” katanya.

Mohd Ali berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia ke-34 di Puteri Resort, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Tetap Gerakan Belia 4B, Datuk Abdul Fattah Abdullah; Presiden Penaja, Shukor Mohd Yusof; Naib Presiden Wanita, Datuk Zaitun Ab Rahman dan Pengerusi Gerakan Belia 4B Melaka, Mohd Nizam Omar.

Mesyuarat semalam mencatatkan lembaran baru dalam sejarah pertubuhan belia berkenaan apabila Mohd Ali melepaskan jawatan Presiden yang disandangnya sejak 15 tahun lalu.

Selain Presiden, 14 jawatan tertinggi Gerakan Belia 4B turut beralih kepada perwakilan di bawah umur 40 tahun.

Sementara itu, menurut Mohd Ali, Gerakan Belia 4B harus mempelbagaikan dimensi perjuangannya.

“Selain aktif menggerakkan aktiviti sosial dan sukan, pertubuhan ini perlu menyuburkan kembali tradisi intelektualisme yang pernah menjadi citra perjuangan pada masa lalu.

“Di samping itu, semua ahli hendaklah serius dalam menjadikan Gerakan Belia 4B sebagai satu gerakan massa dalam bidang ekonomi,” jelas beliau.

Menurutnya, pertubuhan berkenaan juga perlu bersikap berani menyua-rakan pandangan terhadap isu masyarakat atau negara.




1 comment:

PERSATUAN BELIA PEKAN WESTON said...

kita ada cadangan lawatan sambil belajar,harap-harap kementrian bagi kita sikit duit