Sunday, May 17, 2009

Belia Ikuti Kursus Perkhemahan Patriotik

Golongan belia di negeri ini diseru agar tidak mendengar perkara-perkara negatif yang boleh mempengaruhi fikiran mereka ke arah negatif. Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ab Karim Sulaiman berkata, belia perlu punyai semangat patriotik yang tinggi demi memastikan sokongan golongan itu kepada Kerajaan tidak berbelah bagi. "Kita boleh mengambil iktibar apa yang berlaku di Perak yang menjadi kacau bilau apabila sokongan beralih kepada pihak lain dan akhirnya yang rugi adalah kita. "Oleh itu, amat penting bagi golongan belia yang memasuki usia 21 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi dan membuat keputusan untuk masa depan negeri dan negara," katanya. Ab Karim berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Perkhemahan Patriotik (Jatidiri) Peringkat Daerah Alor Gajah anjuran Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah (MGBDAG) dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi MGBDAG, Zaidi Mohd dan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBSN) Abdul Manaf Abdul Rahman. Seramai 41 belia di daerah itu mengikuti program perkhemahan yang berlangsung pada 8 Mei hingga 10 Mei di Seri Kenangan Resort, di sini. Ab Karim berkata, menerusi program itu, golongan belia dapat memperkukuhkan pengetahuan dan semangat jatidiri mereka sebagai golongan belia yang merupakan aset penting kepada negara.

No comments: