Tuesday, April 21, 2009

Usaha Mantapkan Jaringankan Perniagaan 100 Belia Alor Gajah Sertai Program Usahawan




Golongan belia di negeri ini perlu sedar bahawa tidak ada jalan pintas untuk mengecapi kejayaan mahupun kesenangan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Idderis Kassim berkata, ilmu pengetahuan yang dimiliki menjadi faktor kepada kejayaan seseorang. "Jangan kita terpengaruh dengan kaedah-kaedah pintas untuk berjaya, misalnya dengan hanya berdoa dengan niat kononnya akan berjaya. "Kejayaan hanya akan datang dengan usaha dan disertai doa," katanya ketika berucap di majlis penutup Program Pemantapan Usahawan Peringkat Daerah Alor Gajah 2009 di Kompleks Rakan Muda Lendu, di sini, semalam.Turut hadir, Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah (MGBDAG), Zaidi Mohd.Program sehari anjuran MGBDAG dan Pejabat Belia dan Sukan Alor Gajah ini disertai seramai 100 belia di sekitar Daerah Alor Gajah. Sementara itu, Zaidi berkata, pengajuran program itu bertujuan mendedahkan golongan belia kepada bidang keusahawanan ketika negara kini sedang menghadapi krisis ekonomi. "Kita berharap dengan pengajuran program ini akan ada lebih ramai belia berminat menceburi bidang keusahawanan sebagai sumber pendapatan, selain kerja 'makan gaji'," katanya. Penglibatan golongan belia khususnya Melayu dalam bidang keusahawanan masih rendah, meskipun pelbagai program dianjurkan di peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT). Menerusi program itu, peserta dilatih bagaimana mengendalikan perniagaan, berurusan dengan pelanggan dan menyediakan rancangan perniagaan. Sehubungan itu, Idderis mahu program seumpama ini diteruskan dengan mendapat kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat, dan Yayasan Tekun. "Jika kita dapat menganjurkan program ini bersama MARA dan Yayasan Tekun, pasti peserta akan lebih jelas dengan prosedur pinjaman perniagaan yang ingin dijalankan,"katanya lagi.

No comments: